Image Hosted by ImageShack.us" border=2 color=#EAEEC6>

* MUKADIMAH *

Image Hosted by ImageShack.us
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Lawatan sahabat-sahabat adalah amat-amat dialu-alukan Segala artikel di dalam blog ini adalah daripada penulisan penulis sendiri dan beberapa artikel terpilih untuk manafaat kita semua.
Image Hosted by ImageShack.us

* KENAL PENULIS *

Muhammad Bukhori Bin Alias N9, quicquidplantatur@yahoo.com
Image Hosted by ImageShack.us
(gambar hiasan : Al-Farabi)

* Masa *

* BUKU PELAWAT *

Image Hosted by ImageShack.us
Salam Ukhuwwah Fillah. buat semua pengunjung semoga pertemuan singkat di blog ini akan dipanjangkan lagi atas dasar ukhuwwah kerana Allah demi mengangkat martabat Islam di sisiNya

View My Guestbook
Sign My Guestbook

* ARTIKEL LALU *

Image Hosted by ImageShack.us

March 2005

April 2005

May 2005

June 2005

July 2005

August 2005

September 2005

October 2005

January 2006

April 2006

June 2006

July 2006

August 2007

* POST TERKINI *

Image Hosted by ImageShack.us
  • Ayuh Mahasiswa Perangi Gejala Rasuah
  • AYUH BERSAMA PERTAHANKAN ISLAM !
  • WORLD WAR 4- TOGETHER WE BRING END TO IT
  • PERANG DUNIA KE 4 (WORLD WAR IV).BAHAGIAN PERTAMA
  • Surat Terbuka Tun Dr.Mahathir mengenai Jambatan Be...
  • Peradaban yang amat dirindui......
  • Pertanggungjawaban bersama......
  • ADAKAH KITA CUKUP PEKA...........
  • KEMBARA KE TURKI 2.........
  • KEMBARA KE TURKI 1.......
  • * KEDAI KOPI *

    Image Hosted by ImageShack.us

    * LINKS *

    Image Hosted by ImageShack.us
    ...
    ::Abg Nuar Kudus::
    ::Hilmimadani::
    ::Diari Presiden::
    ::Azwiralbukhairi::
    ::EN SHUN::
    ::Hudasoid::
    ::Cik Fadh::
    ::A thing to ponder::
    ::K-Rol::
    ::sharief
    ::zikri::
    ::sheikh adli::
    ::mukhriz::
    ::didi::
    ::tibe::
    ::yazid rilex::
    ::haruman sakura::
    ::pzin::
    ::zul labu::
    ::Fahmi::
    ::Bro Malie(AWANA)::
    ::Anjang::
    ::Annida::
    ::Zaiman::
    ::Nabil Majdi::
    ::Azmir Zakaria::
    ::Kelambu::
    ::Tok Ghimau::
    ::Zaid Akhtar::
    ::Nash::
    ::Irawan surah::
    ::Darkz05::
    ::TOXICITYZ::
    ::CEKODOK SEDAP::
    ::UNA::
    ::IKOKO::
    ::DIANZ::
    ::Mad'u sesat::
    ::Syed::
    ::Mior Isfandy::
    ::Kak Sham::

    * LINGKARAN MAKLUMAT *

    Image Hosted by ImageShack.us
    CARIAN UMUM.
    ::KUTUB KHANAH::
    ::RAKAN TAULAN::
    ::MAIL YAHOO::
    ::YAHOO::
    ::GOOGLE::
    ::SUARA MAHASISWA::
    ::IDEALIS MAHASISWA::
    ::SYEIKH QARDAWI::
    ::HARUN YAHYA::
    :: CURRENT RULING PARTY::
    ::OPOSISI::
    ::BLOGGER::
    ::IYC::
    ::Palestin info::
    Image Hosted by ImageShack.us
    RANGKAIAN BERITA TEMPATAN
    ::UTUSAN MALAYSIA::
    ::BERITA HARIAN::
    ::NEW STRAITS TIMES::
    ::THE SUN::
    ::HARIAN METRO::
    ::THE STAR::
    ::HARAKAH::
    ::MALAYSIAKINI::
    ::MALAYSIA TODAY::
    ::SIN CHEW::
    ::FREE ANWAR::
    ::BERNAMA::
    Image Hosted by ImageShack.us
    BADAN BUKAN KERAJAAN MALAYSIA(NG0)
    ::PKPIM::
    ::ABIM::
    ::PUM::
    ::JIM::
    Image Hosted by ImageShack.us
    RANGKAIAN BERITA ANTARABANGSA
    ::AL JAZEERA::
    ::TURKI NEWS::
    ::CNN::
    ::BBC::
    ::TIME MAGAZINE::
    ::WORLD NEWS::
    ::ASIA DAILY::
    ::NEW YORK TIMES::
    ::CHINA DAILY::
    ::ARAB WORLD NEWS::
    ::MUSLIMEDIA::
    ::ECONOMIST::
    ::FEER::
    ::DAILY MIRROR::
    ::DAILY EXPRESS::
    ::THE SUN UK::
    ::PHILIPINE NEWS::
    Image Hosted by ImageShack.us
    RANGKAIAN BERITA INDONESIA
    ::THE JAKARTA POST::
    ::JAWA POST::
    ::KOMPAS::
    ::HARIANASIB::
    ::ACEH KITA::
    ::DETIK::
    ::ERA MUSLIM::
    ::ENDONESIA::
    ::REPUBLIKA::
    ::MODUS::
    ::GATRA::
    ::SABILI::

    * TAQWIM*

    Image Hosted by ImageShack.us

    * WAKTU SOLAT *

    Image Hosted by ImageShack.us
    Image Hosted by ImageShack.us

    * PULAUKAN *

    Image Hosted by ImageShack.us
    Sesungguhnya negara ini telah banyak meminum darah dan air mata orang Islam.Mereka tidak akan redha sehinggalah kita umat Islam mengikuti mereka sebagai contoh terbaik
    Image Hosted by ImageShack.us

    *PELAWAT *

    Image Hosted by ImageShack.us
    (C)COPYRIGHT RESERVED HAK CIPTA TERPELIHARA TAJAM FIKIR 2005
    free hit counter
    Free Hit Counter

    * Wednesday, April 26, 2006 *

    Surat Terbuka Tun Dr.Mahathir mengenai Jambatan Bengkok.

    Artikel ini saya dapati di dalam email saya, dan saya percaya secara "Bonafide" bahawa ianya akan memberikan manafaat buat pembaca sekalian.Justeru saya menyiarkannya di dalam blog ini buat tatapan dan renungan pembaca khususnya.


    Image Hosted by ImageShack.us

    TINGGAL KENANGAN(MODEL JAMBATAN INDAH).


    Surat Terbuka Tun Dr. Mahathir mengenai Jambatan Bengkok


    Oleh YBhg Tun Dr. Mahathir Mohamad :

    Saya menulis surat terbuka ini sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan negara untuk sesiapa saja yang ingin membacanya.

    Fakta-fakta yang terkandung dalam surat ini perlu saya hebahkan dengan cara ini kerana pada akhir-akhir ini tidak banyak lagi kenyataan saya yang disiarkan, sama ada oleh media massa elektronik atau cetak, walaupun mereka menghantar wakil untuk menghadiri sidang akhbar saya.

    Mengenai isu di atas, saya telah menyatakan pandangan saya iaitu Kerajaan Malaysia telah gagal mempertahankan kedaulatan negara. Akibat daripada itu negara mengalami kerugian berbilion ringgit. Wang ini adalah wang rakyat.

    Saya juga mahu rakyat faham sikap dan tindak-tanduk Kerajaan Singapura serta dakwaan Kerajaan Malaysia yang ia memberhentikan pembinaan jambatan itu kerana isu undang-undang dan kerana sentimen rakyat yang tidak sanggup menyerahkan ruang udara serta penjualan pasir kepada Singapura, dan ini disalahertikan secara sengaja bahawa rakyat tidak mahu jambatan. Rakyat mahu jambatan tetapi menolak syarat Singapura, kerana ia tidak berasas dan bukan hak Singapura.


    Singapura sangat gemar mencetak surat-menyurat antara pemimpinnya dengan pemimpin Malaysia dengan tujuan membuktikan yang ia di pihak yang benar.

    Kerajaan Malaysia sekarang percaya bahawa dengan tidak menyanggah kempen memutarbelitkan oleh Singapura, masalah yang dihadapi akan selesai dengan sendirinya. Tetapi ini angan-angan yang tidak akan jadi kenyataan.

    Di dalam amalan diplomatik, surat-surat yang ditulis oleh suatu pihak dengan memetik persetujuan-persetujuan lisan yang kononnya dicapai di dalam rundingan tidak rasmi di kalangan pemimpin, adalah tidak sah.

    Untuk menjadikan ianya sah, rundingan hendaklah dicatat dan dirakam dengan sempurna, disahkan dan ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak. Kenyataan yang dibuat di dalam sidang akhbar oleh salah satu pihak tanpa pengesahan pihak satu lagi juga adalah tidak sah.

    Encik Lee Kuan Yew, ketika dia menjadi Menteri Kanan Singapura, sangat gemar meminta diadakan pertemuan empat mata tanpa agenda yang sempurna dan kemudian merakamkan hasil pertemuan itu di dalam suratnya sendiri kepada pihak ketiga. (Sila Rujuk Apendiks 1)


    Berdasarkan surat-surat itu juga, dia harap rakan sejawatnya akan menyetujui kandungannya dan oleh yang demikian terikat dengan kandungan surat-surat itu. Dia tidak mengambil kira jika catatannya tidak dianggap tepat dan tidak disahkan.

    Saya menganggap apa-apa pun yang tidak menepati amalan diplomatik sebagai tidak sah. Tanggapan beliau adalah tanggapan beliau sahaja, tidak Iebih dan tidak kurang. Tindakannya mencetak surat-suratnya sebagai bukti bahawa saya telah bersetuju tidak bermakna sama sekali. Hanya jika saya membalas surat itu dan mengesahkan perkara-perkara tertentu, barulah perkara-perkara berkenaan boleh dianggap benar. Tetapi sama ada ia sah dan kita terikat dengannya, bergantung pada pengesahan dan persetujuan kedua-dua belah pihak, secara rasmi.

    Berdolak-dalik mengenai apa yang disebut pakej dan ketidakmampuan mencapai sebarang persetujuan adalah kerana kelulusan yang berasaskan pakej tidak praktikal. Jika persetujuan tidak boleh dicapai mengenai mana-mana satu perkara maka persetujuan tidak boleh dicapai bagi semua perkara dalam pakej itu.

    Atas sebab inilah yang saya mencadangkan dan Encik Goh Chok Tong bersetuju iaitu kita menyelesaikan perkara demi perkara secara berasingan. Ini siperakukan dan diterima oleh Encik Goh Chok Tong selaku Perdana Menteri melalui surat bertarikh Oktober 14 2002 yang antara lain menyebut. (Sila Rujuk Apendiks 2)


    Pada penghujung pertemuan (di Hanoi) anda berkata kita perlu mencuba menyelesaikan isu air, lagi cepat lagi baik. Saya bersetuju....

    Tetapi di dalam surat yang sama, Encik Goh Chok Tong berkata;

    Oleh yang demikian, saya tidak menjangka menerima surat anda bertarikh 7 hb Oktober pada l0 hb Oktober di mana anda menyatakan Malaysia telah memutuskan untuk tidak meneruskan pendekatan pakej……

    JAMBATAN .


    Setelah menolak pendekatan pakej, saya membuat jangkaan yang isu pembinaan jambatan tidak akan dikaitkan dengan sebarang isu lain. Saya menaruh harapan yang sangat tinggi apabila isu pembinaan jambatan disebutkan di dalam surat-surat Menteri Kanan Lee Kuan Yew dan Perdana Menteri Goh Chok Tong.

    Dalam sepucuk surat kepada Tun Daim Zainuddin, Lee berkata.(Sila Rujuk Apendiks 1 perenggan 6)


    Mengenai cadangan Mahathir membina Jambatan Tambak, Perdana Menteri saya (Goh) bersetuju dengannya tetapi mencadangkan agar kita tidak merobohkan Tambak Johor.

    Nampaknya rakyat Singapura lebih menyetujui jika kedua-dua jambatan baru dan Tambak Johor ada. Ini tentulah tidak masuk akal kerana cadangan pembinaan jambatan baru adalah bertujuan membuka laluan di antara kedua-dua belah di Selat Tebrau supaya air boleh mengalir tanpa sekatan. Ia bukan bertujuan menambah kapasiti hubungan antara Singapura dan Johor. Jika ini berlaku, ia hanyalah satu kebetulan.

    Satu lagi hujah menarik Encik Lee ialah (sekiranya Singapura bersetuju dengan pembinaan jambatan itu) ;

    Singapura akan menambak laut di sebelah wilayahnya hingga ke sempadan dengan Malaysia.” ( surat Menteri Kanan Lee kepada Dr Mahathir bertarikh Sept 8, 2001).(Sila Rujuk Apendiks 3 )



    Sempadan antara Singapura dan Malaysia di Selat Tebrau adalah dasar laut yang paling dalam. Bagaimanapun, bagi Tambak Johor sempadannya adalah di tengah-tengah jambatan. Jika Singapura menambak laut di sebelah wilayahnya sehingga ke sempadan, ia bererti hanya laut di sebelah Malaysia akan kekal. Jadi apa halnya dengan konsep sempadan berasaskan dasar laut paling dalam? Dalam surat yang sama kepada Daim , Menteri Kanan Lee berkata..(Sila Rujuk Apendiks 1 perenggan 12)


    Saya sentiasa memaklumkan inisiatif saya kepada Perdana Menteri saya. Dia (Perdana Menteri Goh) bagaimanapun, berkata dia menyerahkan hal ini kepada saya sehingga peringkat akhir apabila dia akan mengkajinya dengan teliti sebelum memberi sebarang persetujuan.

    Menteri Kanan Lee juga menulis di dalam perenggan 12 surat berkenaan; semua nota atau surat yang saya hantar kepada anda dan kepada Mahathir dan sebaliknya perlulah dianggap sebagai Tanpa Prejudis (Without Prejudice) iaitu tidak akan ada sebarang perjanjian sehingga semua perkara dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri.

    Jelas bahawa Menteri Kanan Lee tidak diberi kuasa untuk memutuskan apa-apa kerana beliau perlu memaklumkannya kepada Perdana Menteri Goh untuk dikaji sebelum dipersetujui. Jika tidak, maka tidak akan ada sebarang persetujuan mengenai semua perkara sehinggalah diperakui dan ditandatangani oleh kedua-dua Perdana Menteri.

    Dalam jawapan kepada cadangan saya agar terminal Keretapi Tanah Melayu dibina di Johor Baru, Menteri Kanan Lee, melalui surat bertarikh 10 Disember 2001 berkata;.(Sila Rujuk Apendiks 4 perenggan 10)


    Saya harap anda juga akan menimbangkan kepentingan jangka panjang dan nilai perkhidmatan KTM. Sejak tahun 1923 kereta api merupakan perhubungan yang sangat berharga.Saya rasa mengekalkan hubungan kereta api antara Kuala Lumpur dan Singapura menguntungkan kedua-dua buah Negara.Bagaimanapun, oleh sebab KTM milik negara anda, Singapura akan mematuhi keputusan anda.


    Dalam surat ini, Menteri Kanan Lee berikrar mematuhi keputusan saya. Namun beliau boleh juga berkata Perdana Menteri Goh tidak bersetuju dan segala surat-menyurat kami adalah tanpa prejudis.

    Namun begitu, apabila beliau atau Perdana Menteri Goh Chok Tong dan saya sendiri menurunkan pandangan-pandangan kami dalam bentuk tulisan, ia menggambarkan apa yang kami fikirkan. Tetapi oleh sebab ia dilakukan tanpa prejudis, kami tidak terikat dengan apa yang kami katakan.

    Justeru itu, tidak timbul persoalan berdolak-dalik atau memindahkan tiang gol. Kedudukan tiang gol belum diputuskan. OIeh sebab apa yang dilakukan itu berasaskan konsep tanpa prejudis, maka ia tidak Iebih daripada cadangan sahaja.

    Dalam surat bertarikh 11 April 2002 Perdana Menteri Goh menyebut;.(Sila Rujuk Apendiks 5)


    Saya sekarang memutuskan untuk mengendalikan sendiri perbincangan kita mengenai pakej dua hala.

    Sekarang barulah seorang yang berkuasa bercakap (bagi pihak Singapura).

    Di dalam apa yang boleh dianggap sebagai komitmen mutakhir, Perdana Menteri Goh menulis (kepada saya):

    Di antara sebuah jambatan baru bagi menggantikan keseluruhan Tambak, dan yang menggantikan hanya bahagian di sebelah Malaysia, saya lebih suka kepada pilihan pertama.
    Sebaik sahaja jambatan baru siap, Tambak bolehlah dirobohkan, yang mana saya gembira jika dilakukan selepas tahun 2007.
    Tetapi sekiranya anda mahu menggantikan Tambak di sebelah negara anda dengan sebuah jambatan dengan serta-merta, saya akan menyetujuinya, walaupun pada pendapat saya ini tidaklah ideal.


    Apakah kesimpulan yang boleh kita buat kepada kenyataan ini? Tidak pun disebut mengenai pasir dari Malaysia dan pembukaan ruang udara kepada kapal terbang tentera Singapura. Juga tidak disebutkan tentang nostalgia, hanya keutamaan supaya Tambak dirobohkan selepas tahun 2007.

    Sekarang dihujahkan pula bahawa jika Malaysia sentuh paip yang membawa air ke Singapura, ia adalah tindakan perang (act of war). Adakah ini perisytiharan perang?

    Peruntukan Wayleave Agreement dengan Singapura cukup jelas. Berikut adalah apa yang dipersetujui mengenai paip air;

    That the Licensee (Singapore) shall take full responsibility financially or otherwise for any alteration to the pipeline that may become necessary by reason of any alterations or improvements made or to be made on the Johor Causeway and on receiving not less than six months previous notice in writing from the Licensors (Malaysia) shall thereupon carry out the alteration in accordance with such notice and shall have no claim for any compensation.


    Terjemahanya: Bahawa Pemegang Lesen (Singapura) akan mengambil sepenuh tanggungjawab kewangan atau sebaliknya bagi sebarang pindaan kepada saluran paip apabila ia diperlukan untuk sebarang pengubahsuaian atau pembaikan atau yang diperlukan di Tambak sebelah negeri Johor dan apabila menerima notis bertulis enam bulan sebelumnya daripada Pelesen (Malaysia) akan melakukan pengubahsuaian itu seperti yang disebutkan di dalam notis tanpa sebarang tuntutan ganti rugi.


    Perjanjian itu tidak menyebut mengenai hak Pemegang Lesen (Singapura) mengingkarinya. Peruntukan akan melaksanakan pengubahsuaian (Shall carry out the alteration) sangat jelas dan kuat. Singapura wajib melaksanakan pengubahsuaian itu. Tetapi jika Singapura ingkar, ia mungkin merupakan tindakan perang dan bukan sebaliknya.

    Apabila kerja awal pembinaan jambatan dimulakan tidak ada protes dan tidak ada permintaan membeli pasir atau menggunakan ruang udara kita. Sekarang pembinaan jambatan di sebelah wilayah kita pun nampaknya tertakluk kepada syarat kita membekalkan berjuta meter padu pasir kepada Singapura untuk menambak laut dan membuka ruang udara kita kepada jet tentera udaranya. Daripada mana datang semua syarat ini? Apakah kaitan antara perluasan wilayah Singapura dengan kita membina jambatan di dalam wilayah kita sendiri?

    Tindak-tanduk Singapura mengaitkan pembinaan jambatan di wilayah kita dengan tuntutan kita menjual pasir dan membuka ruang udara kepadanya tidak berasas sama sekali.

    Mengapa Kerajaan Malaysia perlu bersetuju memberi pasir dan membuka ruang udara kepada Singapura, jika tidak terpaksa memberhentikan pembinaan jambatan bengkok di wilayah kita sendiri adalah di luar kemampuan saya memahaminya.

    Adalah hak rakyat Malaysia tidak menjual pasir kepada Singapura atau membuka ruang udara kepadanya. Tetapi rakyat tidak pernah mengatakan yang mereka bersedia mengorbankan projek jambatan. Yang mereka tidak mahu adalah mengalah kepada tuntutan Singapura supaya kita menjual pasir dan membuka ruang udara. Mereka mahukan jambatan tetapi mereka juga mahu Kerajaan mereka menyanggah tuntutan Singapura kerana di segi undang-undang Malaysia tidak perlu melayan syarat-syarat Singapura.

    Tindak-tanduk Singapura ini telah dijangkakan. Tetapi Kerajaan Malaysia gagal mempertahankan kedaulatan negara. Di samping itu, ia telah menyebabkan kerugian berbilion ringgit wang rakyat jelata.

    Biarlah rakyat Malaysia, khasnya orang Melayu, Melayu Johor terutamanya, ingat bahawa lnggeris telah menipu Sultan untuk menyerahkan Singapura dengan percuma kepada mereka (Inggeris).

    Seperti Pulau Pinang, Lumut dan Melaka, Singapura sepatutnya dikembalikan kepada kita apabila lnggeris melepaskan hak mereka. Tetapi Singapura telah menjadi begitu asing keadaannya sehingga ia tidak boleh lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.

    Apakah Malaysia sekarang akan memberi lebih banyak tanah kepada Singapura supaya ia boleh memperluaskan wilayahnya dan menambah bilangan penduduknya? Menyerahkan dasar laut kita kepada Singapura tidak ada bezanya dengan memberikan bumi kita kepada Singapura. Kesudahannya ialah perluasan wilayah Singapura. Ia tidak ada bezanya dengan menyerahkan sebahagian daripada Johor untuk tujuan ini. Apakah kita begitu miskin sehingga kita perlu menjual sekeping bumi kita kepada orang lain?

    Generasi rakyat Malaysia yang akan datang, sama ada Melayu atau Johor, akan menyumpah kita jika kita melakukan semua ini sedangkan kita berhak membina jambatan di atas bumi dan laut kita sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

    Cukuplah kita menyerahkan Singapura (kepada Inggeris). Tidak perlulah kita menyerahkan lagi tanah kita kepada Singapura walaupun ada orang yang berpendapat kita hanya boleh membina jambatan di negara kita jika Singapura bersetuju.

    Rakyat Malaysia tidak pernah mengatakan demikian. Janganlah ada sesiapa yang menyumbat hujah ke dalam mulut mereka semata-mata kerana orang itu takut untuk mempertahankan hak dan kedaulatan negara serta rakyat Malaysia.

    Dr. Mahathir bin Mohamad.






    Read more! | Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com
    TajamFikir gone to the beach 8:44 PM

    * * * * * * * * *

    * Wednesday, April 05, 2006 *

    Peradaban yang amat dirindui......

    Tamadun Islam merupakan sebuah tamadun yang banyak menyumbang kepada kesejahteraan manusia sejagat.Perkembangan ajaran Islam di samping penggalakan pembudayaan ilmu, pengukuhan ukhuwwah tanpa memandang darjat,bangsa dan keturunan, perkembangan sains dan teknologi dan lain-lain nilai positif telah membantu di dalam pembangunan ketamadunan pada hari ini.
    Apabila membicarakan mengenai Tamadun Islam, sudah tentu siri ketamadunan tersebut pasti berkait dengan Sejarah kegemilangan Turki Uthmaniyyah.Di bawah adalah sebuah artikel di internet, dan bermanafaat untuk penambahan maklumat kita semua.
    Sultan Muhammad Al-Fatih
    Dan Pembukaan Istanbul 1453M
    oleh: Hasrizal Abdul Jamil
    BA (Hons) SHARIA Mu'tah University, Jordan


    Pengenalan

    Istanbul atau yang dulunya dikenali sebagai Costantinople, adalah salah sebuah bandar nostalgia dunia. Tidak setakat tercatat oleh tinta Sejarah Islam, bahkan statusnya sebagai salah sebuah bandar utama dunia, pasti mengundang seisi alam manusia untuk meninjau dan menghubungkan sejarah kegemilangan masing-masing dengannya Istanbul diasaskan pada tahun 330M oleh Maharaja Byzantine iaitu Costantine I.

    Kedudukannya yang strategik, diungkapkan oleh Napoleon Bonapart kalaulah dunia ini sebuah negara, maka Costantinople inilah yang paling layak menjadi ibu negaranya. Costantinople telah pun menjadi ibu negara Empayar Byzantine semenjak penubuhannya. Ini menjadikan bandar berkenaan sebagai salah sebuah bandar terbesar dan utama dunia.

    Kedudukan Costantinople yang sedemikian rupa, meletakkan ia di kedudukan yang istimewa apabila umat Islam memulakan agenda pertembungan mereka dengan Empayar Byzantine. Rasulullah SAW telah pun beberapa kali memberikan khabar gembira tentang pembukaan kota ini di tangan umat Islam seperti yang dinyatakan oleh Baginda SAW di dalam peperangan Khandak. Sabda baginda SAW :


    Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.

    Terdapat banyak lagi hadith lain seperti ini dan ia menimbulkan keghairahan para khalifah dan pemimpin Islam untuk berusaha menawan kota Costantinople berkenaan. Usaha pertama dilancarkan pada tahun 44H iaitu di zaman Muawiyah bin Abi Sufian RA. Akan tetapi, usaha berkenaan gagal dan Abu Ayyub Al-Ansari yang merupakan salah seorang sahabat Nabi yang menyertainya, syahid di pinggir kota Costantinople berkenaan. Manakala di zaman Sulaiman bin Abdul Malik pula, Khilafah Umayah telah menyediakan pasukan terhandal untuk menawan kembali kota berkenaan pada tahun 98H tetapi masih belum diizinkan oleh Allah SWT. (rujuk Al-Ibar oleh Ibnu Khaldun 3 / 70 dan Tarikh Khalifah bin Khayyath ms. 315)

    Di zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah, beberapa usaha diteruskan tetapi masih menemui kegagalan termasuk usaha di zaman Khalifah Harun Ar-Rasyid tahun 190H.

    Selepas kejatuhan Baghdad tahun 656H, usaha menawan Costantinople diteruskan pula oleh kerajaan-kerajaan kecil di Asia Minor (Anatolia) terutamanya Kerajaan Seljuk. Pemimpin masyhurnya, Alp Arslan (455-465H / 1063-1072M) telah berjaya mengalahkan Maharaja Rum, Dimonos, pada tahun 463H / 1070M. Beliau telah menangkap lalu memenjarakannya sebelum dibebaskan dengan persetujuan untuk membayar jizyah tahunan kepada Kesultanan Seljuk. Peristiwa ini telah meletakkan sebahagian besar Empayar Rom di bawah pengaruh Kerajaan Islam Seljuk.

    Bagaimana pun, selepas daripada merosot dan jatuhnya Kerajaan Seljuk berkenaan, terbentuk pula beberapa kerajaan kecil di Anatolia. Antaranya ialah kerajaan Seljuk Rum yang telah berjaya meluaskan kekuasaannya sehingga ke pantai Laut Ege di barat, seterusnya melemahkan pengaruh dan kekuasaan Empayar Rom.

    Costantinople Dan Daulah Othmaniyyah

    Di awal kurun ke-8 hijrah / 14M, Daulah Othmaniyyah telah mengadakan persepakatan bersama Seljuk Rum yang ketika itu berpusat di bandar Konya. Persepakatan ini memberikan nafas baru kepada usaha umat Islam untuk menawan Costantinople. Usaha awal yang dibuat ialah di zaman Sultan Yildrim Beyazid yang mana beliau telah berjaya mengepung kota itu pada tahun 796H / 1393M. Peluang yang ada telah digunakan oleh Sultan Beyazid untuk memaksa Maharaja Byzantine menyerahkan Costantinople secara aman kepada umat Islam. Akan tetapi, usahanya itu menemui kegagalan dengan kedatangan bantuan Eropah dan dalam masa yang sama, tentera Mongol di bawah pimpinan Timurlank telah menyerang Daulah Othmaniyyah. Serangan itu dikenali sebagai Perang Ankara dan ini telah memaksa Sultan Beyazid untuk menarik balik tenteranya bagi mempertahankan negara dari serangan Mongol. Dalam peperangan itu, beliau telah ditawan dan kemudiannya meninggal dunia pada tahun 1402M. Kejadian itu telah menyebabkan idea untuk menawan Costantinople terhenti untuk beberapa ketika.

    Selepas Daulah Othmaniyyah mencapai ke peringkat yang lebih maju dan tersusun, roh jihad telah hidup semua dengan nafas baru. Semangat dan kesungguhan yang ada itu telah mendorong Sultan Murad II (824-863H / 1421-1451M) untuk meneruskan usaha menawan Costantinople. Beberapa usaha telah berjaya dibuat untuk mengepung kota itu tetapi dalam masa yang sama berlaku pengkhianatan di pihak umat Islam. Mahajara Byzantine telah mengambil peluang ini untuk menabur fitnah dan mengucar-kacirkan saf tentera Islam. Usaha Sultan Murad II itu tidak berjaya sampai ke sasarannya sehinggalah di zaman anak beliau, Sultan Muhammad Al-Fatih, sultan ke-7 Daulah Othmaniyyah.

    Semenjak kecil, Sultan Muhammad Al-Fatih telah meneliti dan meninjau usaha ayahnya menawan Costantinople. Bahkan beliau terus mengkaji tentang usaha-usaha yang pernah dibuat sepanjang sejarah Islam ke arah itu, sehingga menimbulkan keazaman yang kuat untuk beliau meneruskan cita-cita umat Islam zaman berzaman itu. Ketika menaiki takhta pada tahun 855H / 1451M, beliau telah mula berfikir dan menyusun strategi untuk menawan kota berkenaan..

    Kekuatan Sultan Muhammad Al-Fatih banyak terletak pada ketinggian peribadinya. Semenjak kecil, beliau telah ditarbiah secara intensif oleh para ulamak terulung di zamannya. Di zaman ayahnya, iaitu Sultan Murad II, Asy-Syeikh Muhammad bin Ismail Al-Kurani telah menjadi murabbi Amir Muhammad (Al-Fatih). Ketika itu, Amir Muhammad adalah ketua bagi kawasan Manisa. Sultan Murad II telah menghantar beberapa orang ulamak untuk mengajar anaknya sebelum itu, tetapi tidak diendahkan oleh Amir Muhammad. Lalu, beliau menghantar Asy-Syeikh Al-Kurani dan memberikan kuasa kepadanya untuk memukul Amir Muhammad jika beliau membantah tunjuk ajar gurunya. Apabila beliau menemui Amir Muhammad dan menjelaskan tentang hak yang diberikan oleh baginda Sultan, Amir Muhammad ketawa lalu dipukul oleh Asy-Syeikh Al-Kurani dengan begitu kuat sekali. Peristiwa ini telah menimbulkan kesan yang mendalam pada diri Amir Muhammad lantas selepas itu beliau terus menghafal Al-Quran dalam masa yang singkat

    Tarbiah yang diberikan oleh para ulamak murabbi itu memberikan pengaruh yang besar, bukan hanya kepada peribadi Sultan, bahkan kepada corak pemerintahan dan adat resam Daulah Othmaniyyah itu sendiri. Sekiranya Sultan melakukan kesilapan, murabbinya itu akan menegur. Sultan juga dipanggilnya dengan nama dan apabila bersalam, Sultan yang akan mencium tangan ulamak yang menjadi murabbinya itu.Dengan tarbiah yang teliti dan penuh terhormat seperti ini, tidak hairanlah jika peribadi-peribadi yang unggul seperti Muhammad Al-Fatih lahir menempa nama di persada sejarah..

    Asy-Syeikh Ak Semsettin

    Dalam masa yang sama Asy-Syeikh Ak Samsettin (Syamsuddin) merupakan murabbi Sultan Muhammad Al-Fatih yang hakiki. Namanya yang sebenar ialah Muhammad bin Hamzah Ad-Dimasyqi Ar-Rumi yang mana nasabnya sampai kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Beliau mengajar Amir Muhammad ilmu-ilmu asas iaitu Al-Qur'an, Al-Hadith, Feqah, Linguistik (Arab, Parsi dan Turki) dan juga ilmu kemahiran yang lain seperti Matematik, Falak, Sejarah, Ilmu Peperangan dan sebagainya.

    Semenjak kecil, Syeikh Ak Semsettin berjaya meyakinkan Amir Muhammad bahawa beliau adalah orang yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW di dalam hadith pembukaan Costantinople berkenaan. Apabila beliau menaiki takhta, Sultan Muhammad segera menemui Syeikh Ak Semsettin bagi menyiapkan bala tentera ke arah penawanan Costantinople, demi merealisasikan hadith Rasulullah SAW berkenaan. Peperangan yang maha hebat itu memakan masa selama 54 hari.

    Sultan Muhammad Al-Fatih sangat menyayangi Syeikh Ak Semsettin. Beliau mempunyai kedudukan yang istimewa pada diri Sultan Muhammad Al-Fatih dan ini sangat jelas dinyatakan oleh beliau ketika pembukaan Istanbul, "...sesungguhnya kamu semua melihat aku gembira sekali. Kegembiraanku ini bukanlah semata-mata kerana kejayaan kita menawan kota ini, akan tetapi ia adalah kerana hadirnya di sisiku syeikhku yang mulia, dialah pendidikku, Asy-Syeikh Ak Semsettin."

    Persediaan Ke Arah Penawanan .

    Sultan Muhammad Al-Fatih telah membuat persediaan yang besar ke arah mencapai matlamatnya menawan Costantinople. Beliau telah menyediakan mujahid seramai kira-kira 250,000 dan ini merupakan angka yang begitu besar jika dibandingkan dengan tentera negara lain di zaman itu. Para mujahid berkenaan diberikan latihan intensif dan sentiasa diperingatkan dengan pujian Rasulullah SAW kepada tentera yang akan menawan Costantinople itu nanti

    Beliau telah membina Kota Rumeli (Rumeli Hisari) di tebing Eropah Selat Bosphorus iaitu di bahagian tersempit antara tebing Asia dan Eropah. Kota yang berhadapan dengan kota binaan Sultan Beyazid di sebelah tebing Asia ini, mempunyai peranan yang besar dalam usaha mengawal lalu lintas di selat tersebut. Maharaja Byzantine telah berusaha gigih untuk menghalang Sultan Muhammad Al-Fatih daripada membina kota berkenaan tetapi gagal menghalangnya.

    Sultan Muhammad Al-Fatih juga berusaha untuk mempertingkatkan kelengkapan senjatanya. Beliau telah menapatkan khidmat pakar membina meriam bernama Orban. Beberapa meriam telah dibina termasuk Meriam Diraja yang masyhur. Catatan menceritakan betapa meriam ini adalah yang terbesar di zaman berkenaan. Beratnya beratus tan dan memerlukan beratus tenaga tentera untuk mengangkutnya. Beliau juga menyediakan kira-kira 400 buah kapal laut untuk tujuan yang sama.

    Sebelum serangan dibuat, Sultan Muhammad Al-Fatih telah mengadakan perjanjian dengan musuh-musuh yang lain. Ini merupakan strategi yang penting supaya seluruh tenaga dapat ditumpukan kepada musuh yang satu tanpa ada sebarang ancaman yang berada di luar jangkaan. Antaranya ialah perjanjian yang dibuat dengan kerajaan Galata yang berjiran dengan Byzantine. Perkembangan ini sangat membimbangkan Maharaja Byzantine lantas pelbagai cubaan dibuat untuk menawan hati Sultan Muhammad Al-Fatih supaya membatalkan hasratnya. Hadiah dan rasuh cuba dibuat untuk tujuan berkenaan. Akan tetapi semuanya menemui kegagalan.

    Keazaman yang begitu kuat pada diri Sultan Muhammad Al-Fatih telah mendorong Maharaja Byzantine berusaha mendapatkan pertolongan daripada negara-negara Eropah. Tanpa segan silu, beliau memohon pertolongan dari kepimpinan gereja Katholik, sedangkan ketika itu semua gereja di Costantinople bermazhab Orthodoks. Atas dasar bermuka-muka demi mengekalkan kuasanya, Maharaja Byzantine telah mengaku bersetuju untuk menukar mazhab di Costantinople demi menyatukan kedua-dua aliran yang saling bermusuh itu. Wakil telah dihantar dari Eropah ke Costantinople untuk tujuan berkenaan. Beliau telah berkhutbah di Gereja Aya Sofya menyatakan ketundukan Byzantine kepada Katholik. Akan tetapi hal ini telah menimbulkan kemarahan penduduk Costantinople yang bermazhab Orthodoks. Sehinggakan ada di antara pemimpin Orthodoks berkata, "sesungguhnya aku lebih rela melihat di bumi Byzantine ini serban para orang Turki (muslim) daripada aku melihat topi Latin!"Situasi ini telah mencetuskan pemberotakan rakyat terhadap keputusan maharaja yang dianggap khianat.

    Serangan.

    Costantinople mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dari aspek geografi. Ia dikelilingi oleh lautan dari tiga penjuru iaitu Selat Bhosphore, Laut Marmara Dan Perairan Tanjung Emas (Golden Horn) yang dihalang pintu masuknya oleh rantai besi raksasa. Ia berfungsi menghalang kapal daripada masuk ke pintu utama Kota Costantinople.

    Selepas melalui proses persiapan yang teliti, akhirnya Sultan Muhammad Al-Fatih telah tiba di hadapan kota Costantinople pada hari Khamis 26 Rabiul Awal 857H bersamaan 6 April 1453M. Di hadapan tentera yang menjangkau jumpa 250 ribu, Al-Fatih telah menyampaikan khutbah mengingatkan para mujahid tentang kelebihan jihad, kepentingan memuliakan niat dan harapan kemenangan di hadapan Allah SWT dsb. Beliau juga membacakan ayat-ayat Al-Quran mengenainya serta hadith Nabi SAW tentang pembukaan kota Costantinople. Ini semua memberikan kesan semangat yang tinggi dan jitu pada bala tentera itu lantas mereka menyambutnya dengan zikir, pujian dan doa kepada Allah SWT. Kehadiran para ulamak di tengah-tengah saf para mujahid itu juga menebalkan lagi keazaman mereka untuk menunaikan kewajipan jihad tersebut.

    Keesokan harinya, Sultan Muhammad Al-Fatih telah menyusun dan membahagikan tenteranya kepada tiga kumpulan. Pertamanya adalah kumpulan utama yang bertugas mengawal kota yang mengelilingi Costantinople. Di belakang kumpulan utama itu adalah tentera simpanan yang bertugas menyokong tentera utama di hadapan. Meriam Diraja telah dihalakan ke pintu Topkapi. Pasukan pengawal juga diletakkan di beberapa kawasan strategik seperti kawasan-kawasan bukit di sekitar Kota Byzantine itu. Kapal-kapal laut Othmaniyyah juga diletakkan di sekitar perairan yang mengelilingi Costantinople. Akan tetapi kapal-kapal berkenaan tidak berjaya memasuki perairan Tanjung Emas disebabkan oleh kehadiran rantai raksasa yang mengawal pintu masuk.

    Semenjak hari pertama serangan, tentera Byzantine telah berusaha keras menghalang tentera Othmaniyyah daripada merapati pintu-pintu masuk kota mereka. Tetapi serangan strategik tentera Islam telah berjaya mematahkan halangan itu, ditambah pula dengan serangan meriam dari pelbagai sudut. Bunyi meriam itu telah menimbulkan rasa takut yang amat sangat kepada penduduk Costantinople sehingga menjejaskan semangat mereka untuk bertahan.

    Tentera Laut Othmaniyyah telah mencuba beberapa kali untuk melepasi rantai besi di pintu masuk Tanjung Emas. Dalam masa yang sama, panahan diarahkan kepada kapal-kapal Byzantine danEropah yang tiba untuk membantu. Walau bagaimana pun usaha ini tidak berjaya, dan ini memberikan semacam semangat di awalnya kepada penduduk Costantinople. Para paderi berjalan di lorong-lorong kota, mengingatkan penduduk supaya membanyakkan sabar serta terus berdoa kepada Jesus dan Maryam supaya menyelamatkan Costantinople. Maharaja Byzantine juga berulang-alik ke Gereja Aya Sofya untuk tujuan yang sama.

    Perjanjian Al-Fatih Dengan Maharaja Costantine.

    Maharaja Costantine mencuba sedaya upayanya untuk menundukkan Al-Fatih. Pelbagai hadiah dan tawaran dikemukakan demi untuk menyelamatkan kedudukannya itu. Akan tetapi Al-Fatih tidak menerima kesemua tawaran itu sebaliknya memberi kata putus supaya Costantinople diserahkan kepada Daulah Othmaniyyah secara aman. Al-Fatih berjanji, jika Costantinople diserahkan secara aman, tiada seorang pun yang akan diapa-apakan bahkan tiada gereja dan harta benda penduduk Costantinople yang akan dimusnahkan. Antara isi kandungan risalahnya itu, "... serahkan empayar kamu, kota Costantinople. Aku bersumpah bahawa tenteraku tidak akan mengancam sesiapa sama ada nyawa, harta dan kehormatannya. Mereka yang mahu terus tinggal dan hidup dengan amat sejahtera di Costantinople, bebas berbuat demikian. Dan sesiapa yang mahu meninggalkan kota ini dengan aman sejahtera juga dipersilakan".

    Walaupun begitu, kepungan tentera Al-Fatih masih belum sempurna disebabkan oleh rantai besi yang melindungi pintu masuk Tanjung Emas itu. Dalam pada itu, para mujahid tetap terus melancarkan serangan demi serangan dan pada 18 April 1453M, pasukan penyerang Othmaniyyah telah berjaya memecah tembok Byzantine di Lembah Lycos yang terletak di sebelah barat kota. Tentera Byzantine telah berusaha sedaya upayanya untuk mempertahankan kota dari serangan itu. Pertempuran sengit berlaku bersama iringan hujan anak panah yang amat dahsyat.

    Pada hari yang sama, beberapa buah kapal laut Othmaniyyah telah cuba merempuh rantai besi di Tanjung Emas. Akan tetapi, gabungan tentera laut Byzantine dan Eropah telah berjaya menangkis serangan itu bahkan beberapa buah kapal laut Othmaniyyah telah musnah menyebabkan yang lain terpaksa pulang ke kawasan masing-masing untuk mengelakkan kemusnahan yang berterusan.

    Dua hari selepas serangan itu, berlaku sekali lagi serangan laut antara kedua belah pihak. Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri mengawasi misi berkenaan dari pantai. Beliau telah menghantar utusan kepada tentera laut yang sedang berperang. Katanya, ".. sama ada kamu tawan kapal-kapal itu atau pun kamu tenggelamkan sahaja kesemuanya. Sekiranya kamu gagal, maka jangan pulang kepada kami sedangkan kamu semua hidup!".

    Ketika itu juga, Sultan Muhammad Al-Fatih menunggang kudanya sehingga ke gigi laut sambil menjerit dengan sekuat hati nama ketua misi berkenaan, Palta Oglu, untuk memberikan semangat. Kesungguhan Al-Fatih itu, menaikkan semangat tenteranya. Namun, tentera kristian berjaya juga mematahkan serangan mujahidin walaupun mereka bersungguh- sungguh melancarkan serangan demi serangan. Kegagalan tersebut menyebabkan Sultan Muhammad Al-Fatih menjadi begitu marah lalu memecat Palta Oglu dan digantikan dengan Hamzah Pasha.

    Kegagalan serangan tersebut telah memberikan kesan yang besar kepada tentera Othmaniyyah. Khalil Pasha yang merupakan wazir ketika itu cuba untuk memujuk Al-Fatih supaya membatalkan serangan serta menerima sahaja perjanjian penduduk Costantinople untuk tunduk kepada Daulah Othmaniyyah tanpa menakluknya. Cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh Al-Fatih. Kini tiba masanya beliau berfikir tentang helah untuk tentera laut Othmaniyyah berjaya membolos Tanjung Emas...



    Keajaiban Tentera Othmaniyyah.

    Sultan Muhammad Al-Fatih telah menemui satu kaedah luar biasa untuk membawa kapalnya masuk ke perairan Tanjung Emas. Kaedah yang tidak pernah terfikir oleh mana-mana tentera sebelumnya untuk melakukannya. Beliau telah memanggil tenteranya dan menyarankan kepada mereka supaya membawa kapal-kapal itu masuk ke perairan Tanjung Emas melalui jalan darat! Malam itu juga, tentera Othmaniyyah dengan semangat dan kekuatan luar biasa telah berjaya menarik 70 kapal dari pantai Besiktas ke Galata melalui bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi 3 batu! Sesungguhnya kejadian ini sangat luar biasa dan di luar bayangan manusia hingga ke hari ini.

    Pagi 22 April itu, penduduk Costantinople dikejutkan dengan laungan takbir dan nasyid para mujahidin di Tanjung Emas. Tiada siapa yang dapat membayangkan bagaimana semua itu boleh berlaku hanya pada satu malam. Bahkan ada yang menyangka bahawa tentera Al-Fatih mendapat bantuan jin dan syaitan! Yilmaz Oztuna di dalam bukunya Osmanli Tarihi menceritakan bagaimana seorang ahli sejarah Byzantine berkata, "Tidaklah kami pernah melihat atau mendengar hal ajaib seperti ini. Muhammad Al-Fatih telah menukar darat menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukannya di ombak lautan. Sesungguhnya Muhammad Al-Fatih dengan usahanya ini telah mengatasi Alexander The Great!"

    Costantine telah bermesyuarat dengan para pemimpin kerajaan Byzantine tentang strategi seterusnya, tetapi mereka gagal mencapai kata sepakat. Costantine menolak cadangan supaya beliau sendiri pergi mendapatkan pertolongan daripada umat kristian di Eropah bahkan tetap dengan keputusannya untuk mempertahankan Costantinople hingga ke titisan darah yang terakhir.

    Serangan Besar-besaran Mujahidin.

    Dengan kedudukan tentera Othmaniyyah yang sudah semakin mantap, Sultan Muhammad Al-Fatih telah melancarkan serangan besar-besaran ke benteng terakhir Byzantine. Tembakan meriam yang telah memusnahkan sebuah kapal dagang di Tanjung Emas, menyebabkan tentera Eropah yang lain lari ketakutan. Mereka telah meninggalkan pertempuran melalui kota Galata. Semenjak kejayaan kapal mujahiden memasuki perairan Tanjung Emas, serangan dilancarkan siang dan malam tanpa henti.

    Laungan takbir "Allahu Akbar, Allahu Akbar!" yang mengisi ruang angkasa Costantinople telah memberikan semacam serangan psikologi kepada penduduk kota berkenaan. Seakan mendengar panahan petir, semangat mereka terus luntur dengan ancaman demi ancaman kalimah tauhid tentera Al-Fatih itu. Dalam masa yang sama, Al-Fatih dan tenteranya sentiasa mengejutkan mereka dengan seni perang yang baru sehingga menggawatkan pertahanan tentera salib itu.

    Ketika ribut yang ada belum reda, penduduk Costantinople menyedari bahawa tentera Islam telah mengorek terowong untuk masuk ke pusat kota. Ketakutan melanda penduduk sehingga mereka curiga dengan bunyi tapak kaki sendiri. Merasakan yang bila-bila masa sahaja tentera 'Turki' akan keluar dari perut bumi berikutan dengan pembinaan terowong itu.

    Usaha Damai Terakhir.

    Sultan Muhammad Al-Fatih yakin bahawa kemenangan semakin hampir. Kecintaannya kepada Costantinople yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW, mendorong beliau untuk terus berusaha agar Costantine menyerah kalah tanpa terus membiarkan kota itu musnah. Sekali lagi beliau menghantar utusan meminta Costantine supaya menyerahkan Costantinople secara aman. Apabila utusan berkenaan sampai kepadanya, Costantine telah berbincang dengan para menterinya. Ada yang mencadangkan supaya mereka menyerah kalah dan ada pula yang mahukan pertahanan diteruskan hingga ke penamat. Costantine akhirnya bersetuju dengan pandangan kedua lantas menghantar maklum balas dengan katanya, "... syukur kepada Tuhan kerana Sultan mahukan keamanan dan bersedia menerima pembayaran jizyah. Akan tetapi Costantine bersumpah untuk terus bertahan hingga ke akhir hayatnya demi takhta... atau mati sahaja dan dikuburkan di kota ini!". Apabila jawapan Costantine ini diterima, Al-Fatih menjawab, "Baiklah... tidak lama lagi akan terhasil bagiku di Costantinople itu sama ada takhta atau keranda...!".

    Perbincangan dilakukan oleh Al-Fatih tentang strategi seterusnya. Pelbagai kemungkinan dipertimbangkan dan akhirnya keputusan dibuat untuk meneruskan rancangan menawan Costantinople sebagaimana yang telah disusun.

    Hari Kemenangan.

    Pada 27 Mei 1453, Sultan Muhammad Al-Fatih bersama tenteranya telah berusaha keras membersihkan diri di hadapan Allah SWT. Mereka membanyakkan solat, doa dan zikir dengan harapan Allah SWT akan memudahkan kemenangan. Para ulamak pula memeriksa barisan tentera sambil memberi semangat kepada para mujahidin. Mereka diperingatkan tentang kelebihan jihad dan syahid serta kemuliaan para syuhada' terdahulu khususnya Abu Ayyub Al-Ansari RA. "...sesungguhnya apabila Rasulullah SAW tiba di Madinah ketika kemenangan hijrah, baginda SAW telah pergi ke rumah Abu Ayyub Al-Ansari. Sesungguhnya Abu Ayyub telah pun datang (ke Costantinople) dan berada di sini!" Kata-kata ini telah membakar semangat tentera Al-Fatih hingga ke kemuncaknya.

    Dalam masa yang sama, penduduk Costantine melakukan upacara peribadatan secara bersungguh-sungguh dengan harapan Tuhan akan membantu mereka...

    Tepat jam 1 pagi hari Selasa 20 Jamadil Awal 857H / 29 Mei 1453M, serangan utama dilancarkan. Para mujahidin diperintahkan supaya meninggikan suara takbir kalimah tauhid sambil menyerang kota. Penduduk Costantinople telah berada di kemuncak ketakutan mereka pagi itu. Mujahidin yang sememangnya menginginkan syahid, begitu berani menyerbu tentera salib di kota itu.

    Tentera Othmaniyyah akhirnya berjaya menembusi kota Costantinople melalui Pintu Edirne dan mereka telah mengibarkan bendera Daulah Othmaniyyah di puncak kota. Costantine yang melihat kejadian itu berasa putus asa untuk bertahan lantas menanggalkan pakaian maharajanya supaya tidak dikenali musuh. Akhirnya beliau menemui ajal dalam keadaan yang amat mengaibkan.

    Berita kematian Costantine telah menaikkan lagi semangat tentera Islam untuk menyerang. Begitu juga sebaliknya, bagaikan pokok tercabut akar, tentera salib menjadi kucar kacir apabila berita kematian maharajanya tersebar. Kesungguhan dan semangat juang yang tinggi di kalangan tentera Al-Fatih, akhirnya berjaya sampai ke cita-cita mereka. Kejayaan menguasai Costantinople telah disambut dengan penuh rasa syukur oleh Al-Fatih serta... seisi langit dan bumi. Beliau bertitah, ".. Alhamdulillah, semoga Allah merahmati para syuhada', memberikan kemuliaan kepada mujahidin, serta kebanggaan dan syukur buat rakyatku"


    Sebaik-baik Ketua Dan Tentera.

    Pada hari itu, majoriti penduduk Costantinople bersembunyi di gereja-gereja sekitar kota. Sultan Muhammad Al-Fatih berpesan kepada tenteranya supaya bermuamalah dengan baik kepada penduduk Costantinople sambil mengucapkan tahniah kepada tenteranya yang berjaya merealisasikan sabda Rasulullah SAW:

    Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.

    Dengan penuh rasa syukur dan tawadhu, Sultan Muhammad Al-Fatih telah sujud ke bumi mengucapkan sebesar-besar syukur ke hadrat Allah atas kemenangan bersejarah itu.

    Beliau kemudiannya menuju ke Gereja Aya Sofya yang ketika itu menjadi tempat perlindungan sejumlah besar penduduk kota berkenaan. Ketakutan jelas terbayang di wajah masing-masing bilamana beliau menghampiri pintu. Salah seorang paderi telah membuka pintu gereja, dan Al-Fatih meminta beliau supaya menenangkan sekalian mereka yang ada. Dengan toleransi Al-Fatih, ramai yang keluar dari tempat persembunyian masing-masing bahkan ada di kalangan paderi yang terus menyatakan keislaman mereka.

    Selepas itu, Sultan Muhammad Al-Fatih telah mengarahkan supaya gereja berkenaan ditukar menjadi masjid supaya Jumaat pertama nanti akan dikerjakan solat di masjid ini. Para pekerja bertugas bertungkus lumus menanggalkan salib, patung dan gambar-gambar untuk tujuan berkenaan. Pada hari Jumaat itu, Sultan Muhammad Al-Fatih bersama para muslimin telah mendirikan solat Jumaat di Masjid Aya Sofya. Khutbah yang pertama di Aya Sofya itu telah disampaikan oleh Asy-Syeikh Ak Semsettin. Pada hari itu juga Sultan Muhammad Al-Fatih telah bersumpah bahawa barangsiapa yang menukar Masjid Aya Sofya kembali kepada gereja, maka akan berolehlah kutukan dan laknat darinya dan Tuhan Masjid Aya Sofya itu.

    Nama Costantinople kemudiannya ditukar kepada "Islam Bol", yang bermaksud "Bandar Islam" dan kemudiannya dijadikan sebagai ibu negara ketiga Khilafah Othmaniyyah selepas Bursa dan Edirne . Kekallah bumi yang mulia itu sebagai pusat pemerintahan, ketamadunan, keilmuan dan keagungan Islam berkurun lamanya.. sehinggalah Khilafah Othmaniyyah ditamatkan sejarahnya oleh Mustafa Kemal Ataturk secara rasminya pada tahun 1924M.

    Aya Sofya kembali dikristiankan oleh Ataturk atas nama muzium. Gambar- gambar syirik kembali bertempelan di kubah masjid yang berdukacita itu. Manifesto Parti Refah pada pilihanraya yang lalu untuk mengembalikan Masjid Aya Sofya ke kegemilangan sejarahnya, berkubur buat sementara dengan pengharaman parti itu beberapa tahun yang lalu. Sesungguhnya seluruh umat Islam merindukan suara azan membesarkan Allah kembali berkumandang di menara Aya Sofya. Semoga Istanbul kembali ke pangkuan Islam dan muslimin. Amien ya Rabbal 'Alamin.


    Read more! | Weblog Commenting and Trackback by HaloScan.com
    TajamFikir gone to the beach 1:15 AM

    * * * * * * * * *

    Layout by Melissa
    Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com